Banting, 20 Januari 2025 – Kompleks Yayasan Amal Malaysia, Kg Labohan Dagang menjadi tempat penganjuran Kursus Sukarelawan Dakwah Daie Muallaf selama dua hari, dari 18 hingga 19 Januari 2025. Program ini bertujuan memperkasakan kemahiran para sukarelawan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat berbilang kaum dan bangsa.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 40 orang perserta termasuklah peserta-peserta muallaf. Mereka berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada barisan penceramah yang cukup hebat, termasuk YB Mohd Misbahul Munir, Ustaz Nasruddin Hassan, Ustaz Azhar Yahya, Dr Ann Wan Seng, Ustaz Fitri Abdullah, Ustaz Hafizul Husni, Ustaz Jazni Ajom dan Bro Firdaus Wong.
Antara pengisian menarik dalam kursus ini termasuk Feqh Dakwah Malaysia, Pendekatan Dakwah kepada Orang Cina, Kaum India, Orang Asli dan Dakwah vs Daiyah Kristian. Penceramah turut berkongsi pengalaman mereka dalam berdakwah kepada pelbagai komuniti dan menjadikan sesi ini lebih dinamik dan praktikal.
Menurut YB Mohd Misbahul Munir, “Dakwah di negara berbilang bangsa seperti Malaysia memerlukan pendekatan yang bersesuaian dengan sensitiviti budaya dan kepercayaan masyarakat. Kursus seperti ini sangat penting untuk melatih para sukarelawan agar lebih profesional dalam menyampaikan mesej Islam.”
Peserta diajar untuk berinteraksi dengan masyarakat majmuk secara empati dan penuh hikmah, sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keharmonian dan toleransi.
Kursus ini sekali lagi membuktikan bahawa dakwah adalah tanggungjawab bersama untuk membentuk masyarakat yang lebih memahami dan menghargai nilai-nilai Islam. Semoga semua yang terlibat menjayakan kursus ini mendapat manfaat dan ilmu baru untuk mendepani dunia dakwah di zaman moden.