MESEJ DARI PRESIDEN

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

 Segala pujian kepada ALLAH (swt) yang berfirman ; 

Dan barangsiapa yang menyelamatkan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan manusia keseluruhannya”. [Surah Al Maidah, ayat 32]

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad (SAW) yang diutuskan oleh Tuhan Sekalian Alam sebagai rahmat ke seluruh alam. Firman ALLAH:

 “Dan tidak Kami mengutus kamu(Muhammad), melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”. [Surah Al-Anbiya, ayat 107]

Berbekalkan pengalaman kami yang sedikit dalam melaksanakan misi kemanusiaan dan bantuan amal di pelbagai lokasi bencana dalam negara dan antarabangsa, kami telah bersepakat untuk membentuk satu anjakan paradigma yang besar demi membantu ummah, sejajar dengan Deklarasi Jugra di Selangor pada 11 Oktober 2015 iaitu untuk  menjadi “NGO Kebajikan Pilihan Dunia Menjelang 2025″ 

Dewasa kini, pergerakan Yayasan Amal Malaysia  telah banyak berubah, pelbagai cabaran telah dihadapi, banyak peluang baru terbuka untuk kami mencipta cara dan tindakan baru yang lebih baik. Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada tonggak di dalam transformasi meletakkan Yayasan Amal Malaysia di persada terbaik untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dan menjadi kebanggaan umat Islam sejagat.

Kami membuka lembaran baru perkembangan kami dengan senantiasa memperhalus perincian visi, misi, dan juga strategi-strategi baru yang lebih jelas, asli dan bijaksana. Kini strategi kami semakin menunjukkan hasil yang baik, sungguhpun belum mencapai 100% sasaran kami, namun ia memberi kesan yang positif kepada pergerakan kami.

Apa yang kami boleh berkongsi dengan anda ialah (1) kami sedang melakukan perkara yang benar. Setiap hari kami memulakan kerja dengan semangat yang padu dan ditamatkan hanya dengan kepuasan yang tinggi. (2) Kami membawa nama Yayasan Amal Malaysia melalui gerak kerja yang terikat dengan nilai-nilai amanah, efektif dan efisyen. (3) Kehadiran kami sentiasa dirasai oleh penerima manfaat, masyarakat komuniti, penderma, dan pihak yang berkepentingan. (4) Pengurusan kami sentiasa diselaraskan, untuk keberkesanan dan kesinambungan.

Walau bagaimanapun, harapan sebenar masih perlu dikejar untuk digarap di samping banyak cabaran sukar yang perlu dihadapi pada masa akan datang. Kami beranggapan bahawa itulah peluang yang terbaik dan bernilai untuk kami membuat lonjakan yang lebih tinggi. Justeru, marilah bersama kami, dan ingatilah kami dalam doa ANDA.

Yang Benar,
YB Senator Haji Hussin bin Ismail
Presiden Yayasan Amal Malaysia