Sabah & Sarawak, 17 Januari 2025 – Yayasan Amal Malaysia mencipta sejarah melalui penganjuran Hari Konvokesyen bagi Tadika-Tadika Amal di pedalaman Sabah dan Sarawak. Acara penuh gilang-gemilang ini meraikan kejayaan kanak-kanak pedalaman yang telah berjaya menamatkan pendidikan asas di tadika yang menawarkan pembelajaran percuma kepada komuniti yang memerlukan.
Majlis ini diadakan di beberapa lokasi Tadika Amal yang beroperasi di kedua-dua negeri, termasuk Tadika Amal Timbang Dayang, Tadika Amal Kunak, Tadika Amal Mangkapon, Tadika Amal Delok B (Sarawak). Ia menjadi platform untuk menghargai usaha gigih anak-anak pedalaman yang kini memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti hasil inisiatif Yayasan Amal Malaysia.
Konvokesyen ini mencerminkan komitmen Yayasan Amal Malaysia dalam memastikan tiada kanak-kanak pedalaman yang tercicir daripada peluang pendidikan. Pendidikan awal ini berfungsi sebagai asas penting untuk membentuk generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.
Guru-guru Tadika Amal yang terdiri daripada para Da’iyah daripada alumni Pusat Dakwah Serantau (PDS), memainkan peranan penting dalam kejayaan program ini. Mereka gigih mengatasi pelbagai cabaran, termasuk perjalanan yang jauh, kekurangan infrastruktur asas, serta cuaca yang tidak menentu, demi memastikan pendidikan dapat dinikmati oleh anak-anak pedalaman.
Berdasarkan pencapaian ini, Yayasan Amal Malaysia berhasrat untuk terus memperluaskan program pendidikan percuma ini ke kawasan pedalaman lain di seluruh Malaysia. Yayasan turut menyeru sokongan berterusan daripada pelbagai pihak bagi menjayakan misi mulia ini, demi memastikan generasi masa hadapan tidak ketinggalan dalam arus pendidikan global.
Hari Konvokesyen ini bukan sekadar penutup kepada perjalanan pendidikan awal mereka, tetapi turut menandakan permulaan kepada masa depan yang lebih cerah bagi anak-anak pedalaman Sabah dan Sarawak.






