Belasungkawa Buat Tokoh Negara, Almarhum Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Yayasan Amal Malaysia mengucapkan takziah atas pemergian tokoh negarawan, almarhum Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.08 malam 31 Julai 2022 di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
 
Almarhum merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia korporat mahupun politik di tanah air dan telah meninggalkan legasi sumbangan yang sangat besar.
 
Antara sumbangan besar almarhum ialah berjaya mengembalikan semula pemilikan syarikat perladangan Guthrie Corporation Ltd kepada Malaysia pada tahun 1981 yang dikenali ramai dengan peristiwa serangan Subuh atau Dawn Raid.
 
Almarhum turut terlibat aktif dalam politik dan telah menjawat jawatan Menteri Besar negeri Selangor dari tahun 2008 sehingga tahun 2014. Dalam tempoh kepimpinan almarhum, pelbagai kemakmuran dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat telah dikecapi oleh rakyat Selangor khususnya.
 
Almarhum juga melibatkan diri dalam dunia kesukarelawanan dan beliau telah bergiat aktif bersama Yayasan Amal Malaysia sejak tahun 2004 lagi khususnya sewaktu kejadian bencana tsunami Acheh.
 
Almarhum sangat mengambil berat akan hal ehwal kemanusiaan di rantau ini dan sentiasa mengutarakan pelbagai idea dan solusi bagi meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat.
 
Yayasan Amal Malaysia amat menghargai segala sumbangan almarhum dengan pemasyhuran sebagai Ahli Kehormat merangkap Penasihat Yayasan Amal Malaysia dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Dwi Tahunan Kali ke – 9 di Pahang pada tahun 2017.
 
Terlalu banyak jasa dan sumbangan almarhum terhadap negara yang tidak terungkap. Semoga Allah swt mengampuni almarhum Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menempatkannya bersama dengan para solihin. Kami menyaksikan kebaikan yang dilakukan oleh Tan Sri untuk ummah dan jasa baik Tan Sri amat sukar untuk dicari ganti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *