Yayasan Amal Malaysia telah meraikan Sambutan 20 Tahun di Kompleks Yayasan Amal Malaysia Labohan Dagang, Banting Selangor bermula 17 Mac, 19 dan 20 Mac 2022 yang merangkumi 3 program utama iaitu Ijtimak Daie Pusat Dakwah Serantau, Himpunan Relawan Amal dan Majlis Hari Terbuka .
Majlis gilang gemilang ini telah dirasmikan oleh tokoh berwibawa dalam arus kepimpinan negara iaitu Yang Berhormat Dato Seri Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air.
Dalam ucapan beliau sewaktu merasmikan majlis, beliau telah menegaskan tentang kepentingan budaya Kamil Mutakamil dalam gerak kerja dakwah iaitu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain baik sesama organisasi mahupun dengan organisasi lain dalam mencapai visi dan misi dakwah.
Dalam majlis ini juga, Yayasan Amal Malaysia mengambil peluang memberikan penghargaan kepada tokoh – tokoh yang telah memainkan peranan penting dan menyumbang jasa yang amat besar terhadap perjalanan Yayasan Amal Malaysia sepanjang 2 dekad penubuhannya. 3 orang tokoh telah dianugerahkan sebagai Tokoh Jasamu Dikenang iaitu Almarhum TG Dato’ Dr. Haron Din, Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Almarhum Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik. Manakala tokoh Murabbi Amal pula telah dianugerahkan kepada YBhg.Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok, salah seorang tokoh akademik pengasas UKM.
Disamping itu, sesi simbolik pelantikan AMAL Expert Team turut diadakan bagi meraikan penglibatan tenaga pakar yang merangkumi bidang pertanian, teknologi, kewangan dan perniagaan dalam aktiviti kesukarelawanan Yayasan Amal Malaysia.
Sepanjang program Sambutan 2 Dekad ini berlangsung, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Majlis Khatan Perdana (diadakan awal seminggu sebelum program), Himpunan Sabiqun Awwalun AMAL, persembahan istimewa daripada Soutul Amal dan kumpulan JAWI Live Acoustic, pameran aktiviti Yayasan Amal Malaysia dan kempen derma darah serta aktiviti cabutan bertuah.
Penyertaan majlis ini amat menggalakkan dengan kehadiran para Relawan daripada seluruh negara dan juga penglibatan daripada penduduk masyarakat setempat.
Majlis ini juga sebenarnya menggantikan majlis sambutan 2 Dekad yang telah dirancang bersekali dengan Mesyuarat Agung Perwakilan Dwi Tahunan pada 19 Disember 2021 yang lepas namun terpaksa ditangguhkan saat – saat akhir akibat peristiwa banjir kilat yang melanda.
Gambar – gambar majlis boleh dirujuk di pautan berikut :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2229892593834203&id=127131807443636





