Dilaporkan dalam berita kira-kira 5 petang , beberapa kawasan sekitar Gunung Jerai dilanda banjir besar dan tanah runtuh akibat fenomena kepala air berpunca dari puncak gunung berkenaan.
Menurut relawan AMAL yang berada di sana, empat mangsa ditemukan maut, manakala banyak kediaman termasuk beberapa sekolah mengalami kerosakan akibat dilimpahi selut tebal.
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah bergegas ke tempat kejadian untuk memberi sumbangan sebanyak 1,000 tilam dan pek makanan kepada mangsa yang terlibat dalam bencana baru-baru ini.
Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah, Haji Zulkifli Baharom berkata, sumbangan menerusi Tabung Bantuan Banjir itu juga sebagai tanda solidariti dan kebersamaan NGO dengan masyarakat di negeri Kedah. Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa banjir kilat dan fenomena kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda, dekat Kedah, petang semalam.
Ribuan terima kasih diucapkan relawan AMAL yang bertungkus lumus membantu dalam membersihkan rumah dan menyediakan makanan buat mangsa banjir yang terjejas. Semoga lebih ramai lagi sukarelawan dan dermawan yang budiman turut tampil memberi sokongan buat mangsa banjir pada keita ini.