Anda sering membaca tentang bantuan yang dihulur ke Chad, Sudan dan Uganda, sehinggakan Ibadah Korban & Aqiqah anjuran pihak Amal Qurban oleh Yayasan Amal Malaysia juga diadakan di sana. Tetapi tahukah anda tentang sejarah Chad, Sudan dan Uganda itu sendiri? Inilah masa untuk ketahui tentang sejarah dan latar belakang tiga negara ini.
Chad
Chad merupakan sebuah negara pedalaman yang terletak di tengah-tengah Afrika Utara yang berkeluasan lebih kurang 1.3 juta kilometer persegi. Chad memiliki sempadan sepanjang lebih kurang 6 ribu kilometer. Chad juga antara negara yang memiliki zon empat iklim iaitu dataran kering yang luas di tengah, kawasan gurun di utara, pergunungan yang kering di barat laut dan dataran rendah tropika di selatan.
Chad memiliki kekayaan arkeologi yang ketara dalam kawasan Afrika. Mempunyai tengkorak tertua berusia mencecah 7 uta tahun yang dinamakan Sahelanthropus tchadensis, tengkorak-tengkorak dan lukisan-lukisan dari masa lampau juga banyak telah ditemukan di bumi Chad ini. Chad juga merupakan sebuah negara yang dikelilingi daratan di Afrika Utara dan bersempadan dengan Libya, Sudan, Republik Afrika Tengah, Cameroon dan Nigeria. Chad juga digelar jantung mati Afrika.
Walaubagaimanapun, Indeks Pembangunan Manusia PBB telah menetapkan bahawa Chad merupakan negara ketujuh termiskin di dunia dengan populasi 80% penduduk hidup di bawah garis kemiskinan. Ekonomi pertanian Chad didorong oleh pembangunan ladang minyak dan jalur paip sejak 2000. Selain itu, lebih dari 80% juga penduduk Chad menjalankan pertanian dan penternakan sara diri sebagai sumber utama pendapatan mereka.
Sudan
Sudan merupakan antara negara yang sering menjadi sebutan. Sudan yang terletak di Afrika utara mempunyai garis pantai seluas 853 kilometer yang bersempadan dengan laut Merah. Sempadan daratnya juga dekat dengan Mesir, Eritrea, Ethiopia, selatan Sudan, Republik Afrika Tengah, Chad dan Libya. Mempunyai keluasan sebesar lebih kurang 1.9 juta kilometer persegi, Sudan merupakan negara ketiga terbesar di benua Afrika dan merupakan negara ke 16 terbesar di dunia.
Bagaimanapun, sebut sahaja mengenai Sudan, pasti ramai yang mengetahui tentang peristiwa yang berlaku terhadap Sudan seperti perang saudara, rampasan kuasa, krisis kelaparan dan pelbagai lagi. Apa yang anda tidak tahu adalah Sudan sebenarnya menyimpan pelbagai cerita dan fakta menarik.
Antaranya adalah Sudan merupakan negara dengan jumlah piramid terbanyak didunia. Sering dikaitkan dengan Mesir, sebenarnya piramid telah banyak dibangunkan di Sudan. Berjumlah lebih 220 biji piramid yang dibina, ianya melangkaui jumlah piramid 2 kali lebih banyak yang berada di Mesir.
Selain itu juga, ibu kota Sudan iaitu Khartoum merupakan tempat penyatuan dua anak Sungai Nil iaitu sungai terpanjang di dunia. Sungai Nil Putih yang mengalir dari Danau Victoria di Uganda dan Sungai Nil Biru yang mengalir dari Danau Tana di Ethiopia bertemu di Khartoum dan membentuk sebuah sungai Nil yang megah sehingga kini. Khartoum juga diambil dari bahasa Arab yang bermaksud belalai gajah yang merujuk kepada bentuk aliran sungai Nil yang menyerupai belalai gajah.
Uganda
Negara lain yang juga terkenal di Afrika adalah Uganda. Uganda atau Republik Uganda ialah sebuah negara yang tidak berpantai yang terletak di Afrika Timur. Ianya bersempadan dengan Kenya, Sudan, Republik Demokratik Congo, Rwanda dan Tanzania. Bahagian selatan Uganda pula merangkumi sebahagian besar Tasik Victoria.
Bagaimanapun, Uganda merupakan salah satu negara miskin yang terletak di Afrika Timur. Uganda mencapai kemerdekaan dari jajahan Inggeris pada 9 Oktober 1962 dan digelar sebagai Mutiara Afrika oleh Winston Churchill. Meski begitu, negara penghasil kopi Robusta terbesar dunia ini menyimpan pelbagai fakta menarik.
Antaranya adalah Kampala yang merupakan ibu kota Uganda merupakan salah satu bandar yang paling kotor didunia dan mereka menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama mereka. Selain itu, apa yang menarik adalah, jika seseorang itu menebang sebatang pokok di Uganda, anda harus menanam kembali tiga batang pokok kerana mereka ingin menjaga hutan mereka.
Apa yang menarik juga adalah, orang Uganda tidak suka jika mereka ditunjuk menggunakan jari kerana perkara itu dianggap mereka diperlakukan seperti binatang. Sekitar setengah dari populasi penduduk Uganda hanya berusia di bawah 14 tahun dan kerana itu kita sering melihat ramai kanak-kanak di negara tersebut.