Buat warganet, ketahuilah virus Covid-19 bukan sekadar menyerang paru-paru dan menyebabkan masalah pernafasan tapi turut mampu menyerang jantung anda. Virus Covid-19 mempunyai kapasiti untuk menyerang sel-sel jantung anda secara terus dan menyebabkan keradangan (myocarditis) ataupun melalui pembentukan darah beku yang mampu menyebabkan saluran koronari anda (saluran darah yang membekalkan oksigen kepada jantung) tersumbat dan seterusnya menyebabkan anda mendapat serangan jantung.
Selain itu, dalam keadaan situasi oksigen yang berkurangan disebabkan paru-paru yang rosak diserang virus Covid, jantung anda tidak akan mampu berfungsi dengan baik dan optimum disebabkan kekurangan oksigen yang kritikal. Bagi mereka yang sudahpun mempunyai masalah jantung baik disebabkan oleh penyakit seperti kolestrol, darah tinggi ataupun kencing manis. Golongan ini adalah antara yang berisiko tinggi untuk mendapat serangan jantung ketikamana dijangkiti virus Covid khusus buat mereka yang berada di kategori 3 dan ke atas.
Apa yang akan berlaku bila anda mendapat serangan jantung?
Dada akan terasa amat sakit dan bilamana fungsi jantung tak dapat pam dengan baik, anda akan turut mengalami simptom sesak nafas dan ia boleh berlaku secara mengejut. Bila keadaan menjadi semakin teruk, jantung akan berhenti mengepam dan anda akan terus pengsan. Ketika itu bantuan CPR diperlukan dengan segera untuk membantu mengembalikan denyutan jantung anda.
Tuan dan saudara sekalian,
Sekali jantung anda sudah berhenti dan perlu kepada CPR, bukan mudah untuk merawat anda kemudiannya. Ada yang tak dapat hendak diselamatkan biarpun CPR sudah pun diberikan. Jantung yang berhenti pam akan menyebabkan kekurangan oksigen untuk diberikan kepada otak dan kecederaan otak (brain hypoxia) boleh mendatangkan masalah yang lain.
Sel-sel jantung adalah antara sel yang tidak mempunyai kadar pemulihan sendiri seperti mana sel-sel badan yang lain seperti sel kulit. Kerosakan sel tersebut adalah permanent dan tidak dapat diganti. Sebab itu mereka yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan adalah antara golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan Covid yang kritikal dan perlu diberikan perlindungan dengan baik.
Jadinya, bagi mereka yang sihat, bawa beringatlah masih ada orang yang tersayang ataupun mereka yang keliling anda mempunyai masalah kesihatan yang pelbagai. Banyakkan duduk di rumah dan tidak perlu keluar jika tiada keperluan untuk mengelakkan anda dijangkiti dan membawa jangkitan kepada orang lain.
Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan pelbagai masalah kesihatan dan merupakan golongan yang berisiko untuk dilindungi, mari ajak mereka untuk sama dapatkankan vaksin.
Mudah-mudahan dalam keadaan lambakan kes dan senario Variant of Concern (V.O.C) Covid yang berada dalam komuniti – mereka yang berisiko ini dapat dilindungi daripada mendapat serangan yang kritikal jikalau terkena atau dijangkiti dengan Covid. Lindungilah orang tersayang. Kita boleh menang.
Oleh Dr. Afiq Fahimy (Ahli Jawatankuasa Amal Doktor)