Sedang umat Islam dalam kegembiraan menyambut Syawal, saudara Islam kita di bumi Palestin sedang berdepan kesedihan. Kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal dan pelbagai lagi akibat daripada serangan keganasan oleh Israel.
Siri keganasan Israel itu telah mendapat perhatian seluruh dunia apabila pasukan keselamatan Israel telah menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang penduduk Palestin. Pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel itu bermula pada 7 Mei diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza.
Sehingga kini, dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus lagi cedera. Selain itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa konflik itu bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Demikian siri keganasan itu, satu tabung bantuan kecemasan Gaza Palestin telah dilancarkan dan dikenali sebagai AID4Palestin yang membabitkan tiga NGO utama dalam mengutip dana buat sumbangan ke Palestin. Walaubagaimana pun, hari ini, pihak Amal Malaysia telah menerima sejumlah sumbangan bernilai RM10,000 dari seorang insan berhati mulia.
Apa yang lebih menyentuh hati pihak kami, sumbangan tersebut datangnya dari seorang yang berbangsa Iban dan juga merupakan non-muslim. Ini adalah salah satu bukti bahawa nilai perikemanusiaan dalam setiap orang itu tidak memilih agama dan bangsa.
Ini juga adalah salah satu bukti ‘Anda tidak perlu jadi Muslim, cukup ada rasa kemanusiaan itu untuk membantu Palestin’. Sumbangan yang diterima oleh pihak Yayasan Amal Malaysia cawangan Sarawak ini sedikit sebanyak membuka mata apabila ianya sudah menjadi kewajipan umat Islam dalam membantu saudara di sana, tetapi bantuan ini dihulur oleh seseorang yang bukan beragama Islam untuk turut sama membantu.
Siapa kita untuk menidakkan hati seseorang? Marilah sama-sama kita memanjatkan doa buat penyumbang ini menerima hidayah suatu hari nanti. Sama-samalah kita mempertahankan nasib saudara kita di bumi Palestin. Allah SWT menjanjikan agama Islam akan tetap dipelihara dan mereka yang berusaha menegakkannya diberikan kemuliaan di dunia dan akhirat.