Ramadhan akan tiba ke penghujungnya beberapa hari sahaja lagi. Ketika ini lah ramai umat Islam membuat pecutan akhir untuk mengutip segala ganjaran pahala yang disediakan dari awal hingga akhir bulan mulia ini. Apatah pula ketika ini lah hadiah cepu emas sedang menanti mereka yang mengejar-ngejar mencari keberkatan dan yang berusaha untuk mendapatkannya. Hadiah yang dimaksudkan ialah malam Lailatul Qadar iaitu malam yang disifatkan lebih baik daripada 1000 bulan.
Sudah semestinya kita sebagai umat Islam tidak mahu untuk dikategorikan sebagai golongan yang rugi kerana tidak melakukan sebaik mungkin bagi mendapatkan pahala yang berlipat kali ganda ketika ini. Simbolik kepada bulan Ramadhan ini iaitu pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka menunjukkan betapa mudahnya untuk anda masuk ke syurga. Sesuai dengan gelaran bulan mulia, sepatutnya sebagai umat Islam, kita haruslah melakukan pelbagai kebaikan ketika ini bagi merebut ganjaran yang diturunkan Allah SWT ketiki bulan ini. Ianya tidak sama dengan bulan yang lain.
Hakikatnya, bulan Ramadhan sebenarnya dibahagikan kepada 3 bahagian. Bahagian pertama adalah 10 hari pertama Ramadhan, bahagian kedua 10 hari kedua yang digelar maghfirah dan terakhir adalah 10 hari terakhir. Ianya juga dikenali sebagai Itqun Minan Nar di mana Allah SWT menjanjikan pembebasan dari api neraka. Namun demikian, pembebasan api neraka ini bukanlah diperoleh secara percuma tetapi ianya hanya dijanjikan kepada mereka yang mengikut suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Umat Islam juga diminta untuk melakukan lebih ibadah ketika tibanya 10 akhir Ramadhan ini kerana ganjarannya lebih hebat. Rasulullah SAW juga memperbanyakkan amal ibadahnya ketika 10 malam terakhir Ramadhan seperti membangunkan keluarganya untuk solat pada malam hari dan juga menghindari tempat tidurnya bagi memisahkan dirinya dengan isteri-isterinya. Selain menjalankan kewajiban solat dan puasa Ramadhan, anda juga boleh melakukan solat sunnah, membaca Al-Quran dan memperbanyakkan zikir serta doa. Menurut Imam An-Nawawi, waktu terbaik bagi membaca Al-Quran ialah di penghujung malam dan setelah solat subuh.
Seperti yang dikatakan pada awalnya, malam Lailatul Qadar adalah malam yang paling dikehendaki oleh umat Islam kerana kemuliaan malam ini. Para ulama juga ada menyebut bahawa malam Lailatul Qadar ini jatuh pada hari ganjil iaitu di antara hari ke 21, 23, 25 atau 27. Bagi memperoleh malam Lailatul Qadar ini, umat Islam diminta untuk melaksanakan i’tikaf.
Bagi mendapatkan malam Lailatul Qadar ini bukanlah satu urusan yang mudah. Namun mengikut beberapa sumber, ciri-ciri yang kita boleh mengenali berlakunya malam Lailatul Qadar ini adalah dengan situasi langit yang bersih, udara tidak dingin atau panas, langit tidak berawan, tidak ada hujan, bintang tidak nampak dan pada siang harinya matahari bersinar tidak begitu panas. Segalanya kelihatan tenang dan damai.
Imam Al-Ghazali juga mempunyai kiraannya tersendiri bagi mengenali malam Lailatul Qadar. Caranya adalah dengan melihat hari pertama bulan Ramadhan. Jika hari pertama bulan Ramadhan jatuh pada hari Rabu, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam ke 29 manakala jika hari pertama Ramadhan jatuh pada hari Isnin, malam Lailatul Qadar jatuh pada malam ke 21. Jika dilihat hari pertama Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam ke 25 dan jika hari pertama jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadar akan jatuh pada malam ke 27 dan yang terakhir, jika hari pertama Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadar akan jatuh pada malam ke 23.
Dengan itu semoga kita termasuk dalam golongan-golongan yang berhasil bebas dari api neraka dan mendapatkan kenikmatan malam Lailatul Qadar. Amin.