Menjelang Ramadhan, ramai orang berebut untuk melakukan amal jariah bagi merebut ganjaran yang dijanjikan sepanjang bulan ini. Bulan yang digelar sebagai bulan mulia ini mempunyai seribu satu ganjaran yang Allah SWT telah turunkan seperti menghapuskan dosa-dosa, mengabulkan doa dan menurunkan rahmat. Sehubungan itu lah ramai menjalankan amal lebih dari kebiasaannya.
Bulan Ramadhan ini juga telah dikurniakan kepada anda satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang hari sebagai satu kewajipan dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah. Bagi sesiapa yang menunaikan ibadah ini maka pekerjaan itu telah setara dengan orang yang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadhan juga dikenali sebagai bulan kesabaran dan sebagai ganjaran adalah syurga. Allah juga menjanjikan pelbagai pada bulan ini termasuklah Allah melapangkan rezeki bagi mereka yang memberikan hidangan kepada mereka yang berpuasa, pemberi akan menerima pahala yang setimpal dengan penerima yang berpuasa itu.
Selain itu juga, Ramadhan ini juga dikaitkan dengan 8 keistimewaan dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Antaranya ialah
- Bulan Yang Agung (Syahrum Azhim)
Azhim yang digunakan bagi menggambarkan kekaguman terhadap kebesaran dan kemuliaan sesuatu. Apa sahaja yang diagungkan oleh Rasulullah SAW pastinya mempunyai nilai yang jauh lebih besar dan sangat mulia jika hendak dibandingkan dengan sesuatu yang diagungkan oleh manusia biasa. Ramadhan diagungkan oleh Allah SWT juga kerana pada bulan ini lah Allah mewajibkan manusia menunaikan salah satu dari lima rukun Islam. Yang Maha Pemurah dan Penyayang ini juga telah mengurniakan segala kemurahan, kasih sayang dan kemudahan bagi hamba-hambanya yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya. - Bulan Keberkatan (Syahrul Mubarak)
Seperti sedia maklum, bulan ini juga dipenuhi dengan keberkatan dan manfaat. Segala amalan yang dilakukan sepanjang bulan ini boleh disamakan dengan rangkaian berlian yang sangat berharga kerana perbuatan kita ketika berpuasa menjadi ibadah berpahala yang balasannya secara langsung dari Allah SWT. Amal baik sekecil manapun akan dilipatgandakan asalkan ikhlas.
Keberkatan bulan Ramadhan ini secara kasar dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 10 malam pertama yang dipenuhi rahmat Allah SWT, 10 malam berikutnya diisi dengan pengampunan dan 10 malam terakhir merupakan pembebasan manusia dari api neraka. Keberkatan ini dikurniakan sekiranya kita menggunakan waktu yang dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT selari dengan saranan Rasulullah SAW. - Bulan Quran Diturunkan (Syahru Nuzulil Quran)
Firman Allah SWT “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan furqan (pembeda di antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuas di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (QS Al-Baqarah: 185)
Al-quran yang merupakan wahyu Allah SWT untuk dijadikan satu kitab sebagai pedoman hidup kita. Firman di atas jelas mengatakan bahawa tujuan utama amalan pada bulan Ramadhan ialah bagi membentuk insan yang bertakwa bagi menjadikan Kitabullah sebagai pedoman hidup. Dalam erti kata lain, Ramadhan dan Al-Quran tidak dapat dipisahkan. Rasulullah SAW juga menerima wahyu pertama pada bulan Ramadhan dan di setiap bulan ini juga Malaikat Jibril akan datang dua kali bagi menguji hafalan dan pemahaman Rasulullah SAW terhadap Al-Quran. - Syahrul Siyam
Dari awal Ramadhan hingga akhir, kita sebagai Muslim menegakkan salah satu dari 5 rukun Islam yang sangat penting iaitu shaum (puasa). Kewajiban berpuasa ini juga amatlahnting seperti kewajiban menunaikan solat 5 waktu. Maka bagi seseorang Muslim, sebulan ini haruslah menumpukan diri beribadah sebagaiman mendirikan solat fardhu Subuh dan Maghrib yang hanya memakan waktu beberapa minit sahaja.
Puasa yang dilakukan adalah dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan sepanjang itu kita haruslah siyam iaitu menahan diri dari makan, minum dan berjimak serta segala macam lagi maksiat lain di siang hari. Bagi mencapai kesempurnaan berpuasa selain menahan diri dari makan, minum dan jimak, kita haruslah menahan diri dengan meninggalkan perbuatan maksiat dan perbuatan makruh. - Syahrul Qiyam
Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Muttafaqun ‘Alaih)
Di bulan Ramadhan ini juga umat Islam digalakkan bagi melakukan amalan-amalan seperti solat dan membaca Al-Quran. Setiap mukmin juga sangat dianjurkan melakukan solat tarawih dan witir sebagai latihan agar mampu mengamalkan qiyamullail di luar bulan Ramadhan. - Bulan Sabar (Syahrus Sabr)
Sabda Rasulullah SAW: “Puasa itu setengah kesabaran. Kesabaran itu setengah dari iman.” (HR Tirmidzi, Abu Na’im dan Abu Mas’ud)
Bulan Ramadhan juga antara bulan yang melatih mukmin agar menjadi orang yang sentiasa bersabar, tidak mengeluh dan menahan ujian di dalam keadaan lapar dan dahaga. Sabar merupakan kekuatan jiwa dari segala bentuk kelemahan mental dan spiritual. Allah SWT juga menjanjikan orang yang bersabar akan sentiasa bersama-Nya dan balasannya adalah syurga. - Bulan Santunan (Syahrul Musawwah)
“Nabi SAW adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih delimawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Quran. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu membacakan kepadanya Al-Quran. Rasulullah SAW ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.“(HR Bukhari dan Muslim)
Ramadhan juga dikenali sebagai bulan santunan apabila orang-orang yang beriman sedar sepenuhnya bahawa bulan puasa ini mendidik mereka dengan memiliki rasa simpati terhadap golongan fakir miskin kerana berpuasa ini seolah mengajar mereka merasakan lapar dan dahaga seperti yang dirasai oleh golongan fakir miskin ini.
Sehubungan itu, kita kaum Muslimin ini digalakkan supaya sentiasa bermurah hati bagi membantu golongan-golongan ini kerana mereka sering berada dalam keadaan yang memerlukan. Sifat memberi tanpa mengharapkan balasan ini harus ditanam dalam setiap diri seorang Muslim. Segala amal yang berkaitan dengan harta seperti zakat fitrah sedekah, infak, wakaf dan sebagainya juga zakat harta sebaiknya dilakukan pada bulan yang mulia ini.
Walaupun pemberian yang beri itu dalam kuantiti yang kecil tetapi ianya bernilai besar di sisi Allah SWT. Barangsiapa yang memberi makan dan minum kepada mereka yang berpuasa walau hanya dengan seteguk air, pahala yang diterima setaraf dengan golongan yang berpuasa. - Bulan Rezeki Untuk Orang Mukmin (Syahrul Yuzdaadu filhi Rizqul Mu’min)
Bulan ini juga merupakan bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman lebih bertambah kerana segala kemudahan dibuka oleh Allah SWT seluas-luasnya. Para pedagang akan beruntung, orang yang menjadi pekerja mendapat kelebihan pendapatan dan sebagainya. Namun rezeki terbesar adalah hidayah Allah SWT kemudian hikmah dan ilmu yang begitu mudah diperoleh di bulan yang mulia ini.
Oleh itu, marilah kita manfaatkan segala nikmat dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan ini. Segala amalan yang dilakukan lebih diterima dengan segala keberkatan dan dikurniakan kenikmatan sepanjang bulan ini. Bertakwa hanya kerana Allah SWT dan beramal kepada-Nya pasti lebih disayangi oleh Allah SWT.