Sekali lagi pihak Yayasan Amal Malaysia telah berjaya mengagihkan sumbangan buat golongan asnaf yang berada luar dari negeri Selangor. Kalau sebelum ini sebanyak 14 buah tempat di sekitar Selangor telah menerima bantuan sumbangan tersebut. Bagaimanapun kali ini, sumbangan telah berjaya diagihkan kepada mereka yang berada di Jerantut, Pahang.
Sebanyak 6 buah kampung orang tempatan dan 8 buah kampung orang asli yang telah disantuni oleh pihak Amal Malaysia. Dengan kerjasama YB Adun Tahan dan Tok empat JKKK semua kampung, sebanyak 1250 buah keluarga telah menerima sumbangan tersebut yang masing-masing berada di Bandar Jerantut, Kg Kuala Tahan, Kg Pagi, Kg Bantal, Kg Bukit Mat Darling, Kg Sat dan Kg Gesir.
Selain itu juga, sebanyak 1225 ketua keluarga yang berada di Kg Hulu Tembeling telah menerima sumbangan beras. Selain itu, pihak Amal Malaysia juga telah berjaya menyerahkan sebanya 6 buah unit telefon bimbit, 7 buah printer, 240 kotak kurma, 400 set lengkap ibadah iaitu telekong dan sejadah, permainan kanak-kanak, pakaian baru dan terpakai sebanyak 2 tan yang telah diagihkan ke 3 tempat dan termasuklah pakaian khas wanita. Selain itu, ibadah akikah juga berjaya dilakukan dengan menumbangkan seekor kerbau.
Misi sumbangan ini berjaya dilaksanakan dengan bantuan 2 orang pemantau Relawan Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor dan turut dibantu oleh 4 orang Relawan Yayasan Amal Malaysia cawangan Pahang. Sehubungan ini, pihak Amal Malaysia dan Amal Selangor mengucapkan ribuan Terima Kasih kepada pihak penyumbang. Sama sama kita doakan semoga Allah SWT menerima amalan jariah kita dan mengampunkan dosa dosa kita. Amin.