Hadis sahih riwayat Ahmad, daripada Aus ibn Aus r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Hari-hari kalian yang paling baik adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Nabi Adam A.S, padanya diwafatkan Nabi Adam A.S, padanya berlaku tiupan sangkakala dan padanya berlaku kiamat, maka kalian perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat.”
Melalui hadis ini sudah dimaklumkan bahawa Jumaat merupakan hari yang paling mulia berbanding hari lain dan merupakan penghulu segala hari. Seperti sedia maklum, hari Jumaat juga membawa banyak syafaat kepada kita umat manusia.
Antara kelebihan hari Jumaat ialah hari di mana ramai malaikat turun ke bumi. Malaikat ini akan diutuskan menunggu di setiap pintu-pintu masjid untuk mencatat setiap nama yang hadir ke masjid. Mereka menggunakan tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak.
Apabila sempurna Solat Jumaat, malaikat-malaikat ini akan kembali ke arasy bagi menyembahkan kembali hasil catatannya kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
Selain dari itu, kita juga digalakkan untuk banyakkan berzikir dan berselawat ke atas Nabi kerana ia boleh memakbulkan segala permintaan dan menghapuskan dosa kecil. Umat Islam juga digalakkan untuk berselawat pada hari dan malam Jumaat.
Hari Jumaat ini juga digelar sebagai hari mustajab berdoa. Umat Islam digalakkan berdoa terutama di antara dua waktu iaitu ketika imam berada di atas mimbar sehingga Solat Jumaat dan ketika akhir waktu asar. Pelbagai lagi kelebihan Jumaat yang dijanjikan Allah SWT. Sebagai seorang umat Islam, mari lah kita manfaatkan hari mulia ini dengan perkara berfaedah.