GOMBAK 22 – 23 FEB : Mahasiswa perlu disiapkan dengan ilmu kaedah berdakwah yang tepat agar generasi terpelajar ini dapat menyampaikan dakwah Islam mengikut konteks bidang pengajian masing-masing.
“Bumi Malaysia adalah bumi yang sangat bertuah kerana kepelbagaian budaya dan kaum. Seharusnya peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh para pendakwah untuk menyampaikan risalah Islam”. Demikian ucapan Pengarah Program, Ust Syed Muhammad Faris Syed Roslan.
Beliau menambah lagi, Relawan Duat telah mewujudkan inisiatif seperti kursus ini dengan objektif untuk melahirkan para mahasiswa yang mempunyai rasa bertanggungjawab untuk berdakwah ketika mereka di menara gading lagi dan semoga ia dapat terus dipupuk sehinggalah mereka berada di alam pekerjaan.
Kursus selama 2 hari ini menampilkan tokoh dakwah tidak asing lagi di Malaysia dengan pengisian yang mantap seperti Dr. Ann Wan Seng (Sosiobudaya Masyarakat Cina), Ustaz Mohd Fitri Abdullah (Memahami Agama Hindu), Brother Shah Kirit (Memahami Agama Kristian), Brother Firdaus Wong (Praktikal Dakwah Non Muslim) dan lain–lain.
Program ini telah berlangsung di UNIKL BMI, Gombak dan turut disertai seramai 60 peserta dalam kalangan mahasiswa dan orang awam.