Multaqa Dakwah Nusantara Pemangkin Ke Arah Kegemilangan Gerakan Dakwah Islamiah

BANGI -15 FEB 2020 : Satu momentum gerakan dakwah bersepadu perlu disusun dan digerakkan bagi mengembalikan semula kegemilangan dakwah di rantau Nusantara ini.

Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berkata dalam ucapan perasmiannya, cahaya dakwah Islam adalah seumpama cahaya matahari yang tiada siapa mampu menghalangnya sehingga hari kiamat. Datangkanlah cabaran mana sekalipun, pasti cahaya Islam tetap dapat menembusinya.

Beliau menambah, ibrah kemasukan Islam di bumi Nusantara dengan pendekatan penuh  berhikmah pada kurun yang lampau mestilah direnungi oleh pertubuhan-pertubuhan Islam agar seluruh masyarakat  di setiap pelusuk Nusantara dapat merasai nikmat hidayah Islam.

“Maka kewajipan para pemimpin, ulama’ dan kumpulan  Islam untuk mengembalikan Wahdah Ummah (Kesatuan Ummah) adalah tersangat penting untuk mengelakkan perpecahan yang sangat merugikan umat Islam khususnya dalam aspek dakwah,” tegas beliau.

Sementara itu, Dr Ann Wan Seng, tokoh dakwah tempatan  yang membentangkan kertas kerjanya dalam program ini turut mengingatkan tentang perlunya gerakan dakwah yang bersepadu.

“Ada beza antara gerakan dakwah dan pertubuhan dakwah. Contoh kita boleh lihat pada gerakan misionari Kristian, mereka mempunyai banyak pertubuhan–pertubuhan misionari tapi dalam masa yang sama gerakan misionari mereka sangat tersusun. Berbeza dengan kita, kita juga banyak pertubuhan dakwah namun kita kurang dari aspek  momentum ‘gerakan’ dakwah yang bersepadu,” ujar beliau.

Multaqa Dakwah Nusantara telah berlangsung selama sehari di Hotel Puri Pujangga UKM Bangi yang dianjurkan oleh Pertubuhan Muktamar Dakwah Malaysia dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia dan NGO- NGO dakwah.

Program ini turut disertai 200 peserta dari kalangan badan dakwah negara–negara rantau Nusantara, ahli akademik dan juga pertubuhan dakwah tempatan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *