KAJANG, 16 April — Buat julung kalinya, Jabatan IT & Media Yayasan Amal Malaysia (YAM) berjaya menarik seramai 11 orang peserta dalam Bengkel Kewartawanan 1.0 di Pusat Dakwah Serantau pada 13 April, Sabtu yang lalu.
Pengarah Bengkel Kewartawanan 1.0, Fakhira Faizal berkata tujuan bengkel ini dijalankan untuk memberi pendedahan berkaitan ilmu kewartawanan kepada masyarakat terutamanya relawan yang berminat mengetahui cara-cara menjadi seorang wartawan lapangan.
Kehadiran wartawan bebas, Zaimah Ali yang sudi berkongsi pengalaman sebagai wartawan lapangan memeriahkan lagi suasana.
Selain itu, beliau juga memberi perkongsian berkaitan strategi platform media baru yang menggunakan pendekatan MOJO sebagai medium untuk penyediaan dan hebahan berita secara pantas dan cekap.
Tambahan pula, kemahiran menulis copywriting dan headline di luar kotak akal fikiran membuka mata para peserta bertapa pentingnya seseorang penulis menggunakan ayat yang kreatif dan mencuit fikiran.
Selain sesi teori di dalam kelas, peserta juga didedahkan dengan sesi praktikal yang dilakukan bagi mengcungkil bakat para peserta untuk menjadi wartawan lapangan.
Peserta dikejutkan dengan kehadiran wartawan awam, Ali Imran yang juga turut serta berkongsi ilmu berkaitan penulisan artikel kreatif dalam rencana seperti penulisan di website dan surat khabar.
Beliau menekankan kepentingan mencari sumber yang sahih dengan fakta-fakta yang bernas dalam sesuatu penulisan sebelum sesuatu berita itu disiarkan untuk tontonan awam.
Pegawai IT & Media, Zuraini Zahri berharap agar bengkel ini dapat memberi manfaat kepada setiap peserta yang hadir dan dapat digunakan dalam kehidupan seharian dengan berkongsi ilmu yang diperolehi bersama kenalan.
Bengkel Kewartawanan 1.0 ini diakhiri dengan tontonan lagu Relawan Amal sebagai pemangkin semangat para peserta menyertai program dan aktiviti anjuran Yayasan Amal Malaysia. Jazakumullahu kheir.