Pulau Dua, Myanmar, 25 Jun-29 Jun 2025 — Seramai 32 orang peserta telah menyertai Misi Ziarah dan Edaran Wakaf Al-Quran ke Pulau Dua (Khuantong), Myanmar yang berlangsung baru-baru ini.
Program ini dianjurkan bagi menyantuni komuniti Islam setempat serta menyalurkan sumbangan berupa naskhah Al-Quran, telekung dan pakaian. Edaran telah dilaksanakan di Masjid Raudatul Jannah, Kampung Teluk Batu Sepuloh, Pulau Dua, yang menjadi pusat pertemuan dan pusat komuniti di situ.
Misi ini merupakan salah satu usaha berterusan pihak Yayasan Amal Malaysia dalam memastikan keperluan asas ibadah masyarakat Islam di kawasan pedalaman dapat dipenuhi, selain mempereratkan lagi hubungan ukhuwah di peringkat antarabangsa.
Asal penduduk Islam di situ ialah daripada kerajaan Kedah Tua dahulu dan mereka semua cakap dengan loghat Kedah. Makanan yang orang kampung hidangkan sebiji seperti makanan kampung melayu kita. Walaupun kita jauh beratus kilometer, ukhuwah sesama bangsa dan agama masih utuh dan erat.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah menyalurkan sokongan melalui program wakaf dan infaq ini. Semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal jariah yang berkekalan dan membuka lebih banyak ruang untuk misi-misi kebajikan di masa akan datang.
“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu infakkan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah: 273)