Kuala Lumpur, 21 Mei 2025 — Yayasan Amal Malaysia telah mengadakan satu sesi perjumpaan dan perbincangan strategik bersama pihak Interactive Dakwah & Tarbiyah (IDT) yang diketuai oleh General Manager IDT, Saudara Naim Ahmad.
Pertemuan ini bertujuan membincangkan potensi kerjasama dalam bidang latihan dakwah khusus untuk para Relawan Amal, dengan penekanan kepada dua pendekatan utama iaitu dakwah billisan (ilmu dakwah) dan dakwah bilhal (aktiviti kemanusiaan).
Sepanjang sesi berlangsung, pihak IDT telah menawarkan beberapa modul latihan dakwah yang dirangka khusus untuk memperkukuh keupayaan relawan dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah secara berkesan dan berstruktur. Perbincangan turut menjurus kepada pelaksanaan program latihan yang dirancang untuk dilaksanakan secara berkala.
Dalam usaha memperluaskan jaringan dakwah, IDT turut menjemput Yayasan Amal Malaysia untuk menyertai program Street Dakwah Workshop yang akan diadakan pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025. Program ini dijangka menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman lapangan kepada peserta daripada pelbagai latar belakang.
Selain itu, IDT menerusi badan kebajikannya, Interactive Dakwah & Welfare Association Malaysia (IDWA), turut menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dalam pelbagai inisiatif kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia.
Kerjasama strategik ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuh sinergi antara organisasi dakwah dan kebajikan, serta memperluas impak kepada masyarakat secara menyeluruh.