Pada 7 November 2024, satu peristiwa penting telah berlangsung di Dewan Yayasan Amal Malaysia, Labohan Dagang, Banting, Selangor, apabila Yayasan Amal Malaysia dan KOPETRO menjalinkan kerjasama strategik melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Majlis ini menjadi satu titik permulaan bagi kedua-dua organisasi untuk bekerjasama dalam melaksanakan kempen-kempen dan pelbagai produk bagi membantu membangunkan ekonomi dan melaksanakan program kebajikan masyarakat yang memerlukan, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Majlis yang penuh bermakna ini dihadiri oleh tetamu-tetamu VIP yang disegani. Antara yang hadir ialah YB Senator Tuan Haji Hussin Ismail, Presiden Yayasan Amal Malaysia, Tuan Haji Jamuliddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, dan YB Ustaz Misbahul Munir Masduki, Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia. Turut hadir adalah tetamu kehormat dari KOPETRO, iaitu Encik Roslan bin Abdul Rahim (Pengerusi KOPETRO), Encik Zamani bin Othman (Pengerusi KOPETRO Travel & Tours), En Azizan bin Abd Hamid (Ketua, Bahagian Strategy & Stakeholder Management KOPETRO), dan Pn Hanizah binti Mohamed Ali Piah (Head of Operation, Travel & Leisure).
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin bagi memohon keberkatan Ilahi, diikuti oleh nyanyian lagu Amal yang menghidupkan semangat persaudaraan dalam kalangan hadirin. Ucapan aluan oleh YB Senator Tuan Haji Hussin Ismail, Presiden Yayasan Amal Malaysia, menyentuh hati semua yang hadir. Dalam ucapannya, beliau berkongsi tentang perkembangan Yayasan Amal Malaysia yang bermula dengan hanya seorang staf, dan kini telah berkembang menjadi lebih daripada 50 staf, dengan matlamat yang besar untuk menjadi NGO kebajikan pilihan dunia menjelang tahun 2025. Beliau menekankan betapa pentingnya visi ini dalam mengukuhkan peranan Yayasan Amal di peringkat global.
Sesi kemuncak majlis ialah upacara menandatangani MoU antara Yayasan Amal Malaysia dan KOPETRO. MoU tersebut ditandatangani oleh YB Senator Tuan Haji Hussin Ismail, mewakili Yayasan Amal Malaysia, dan Encik Roslan bin Abdul Rahim, Pengerusi KOPETRO. Upacara ini turut disaksikan oleh Tuan Haji Jamuliddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, dan Encik Zamani bin Othman, Pengerusi KOPETRO Travel & Tours. Momen bersejarah ini diabadikan dengan sesi bergambar bersama para VIP dan tetamu kehormat.
Majlis berakhir dengan penuh harmoni, diiringi doa agar kerjasama dan ukhuwah yang terjalin ini dapat memperluaskan lagi usaha dakwah dan kebajikan masyarakat di seluruh dunia. Semoga usaha yang dijalankan oleh Yayasan Amal Malaysia dan KOPETRO membawa manfaat yang besar dan diberkati oleh Allah SWT.