Yayasan Amal Malaysia Bina Tadika Lagi di Kunak

Tadika Amal Kunak Jaya berdiri di atas rumah usang, buruk dan tiada kelengkapan asas. Demi menginginkan anak-anak Sulu di Kunak Jaya ini mendapat pendidikan agama dan kemahiran membaca mengira dan menulis, maka Yayasan Amal Malaysia telah mengambil tindakan segera dengan membeli rumah tersebut dengan harga RM10,000. Sebulan selepas pembelian, ia dibaikpulih pada lantai, dinding dan bumbungnya supaya ia selesa digunakan sebagai pusat pembelajaran kanak-kanak dan dewasa. Kos baik pulih sebanyak RM20,000 dikeluarkan. Mengambil masa selama 3 bulan untuk dibaik pulih. Fasa terakhir sebelum Ramadhan 1444H ialah menyediakan kelengkapan dalaman tadika seperti air dan elektrik serta dapur dan bilik air selain alat bantuan belajar demi keselesaan guru dan murid. Kos tambahan dikeluarkan sebanyak RM20,000. 

Kini Tadika Amal Kunak Jaya telah berjaya dirasmikan oleh YB Ust Mohd Misbahul Munir bin Masduki, dan pada 30 Mei 2023 bermulalah tadika ini digunakan secara rasmi. Turut menghadiri majlis perasmian tersebut ialah pimpinan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah dan Pengurusan Tadika Amal Malaysia, ketua Kampung Kunak Jaya dan orang kampung. Dalam majlis perasmian ini turut diadakan gimik penyerahan bot oleh AJK Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah, Dr. Shuib bin Saedin kepada pihak Tadika Amal.

Encik Arman bin Abdul Rahman, ketua kampung Kunak Jaya dalam ucapan beliau amat mengalukan kewujudan tadika Amal di kampungnya dan akan memastikan tadika tersebut beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *