Maritim bersama Amal Malaysia

Mahabbah Pulau Banggi

Pulau Banggi, 7 Sept —Seramai 24 orang ahli Relawan Amal Yayasan Amal Malaysia mengikuti Misi Ziarah Mahabbah Pulau Banggi bagi tujuan mengeratkan persaudaraan antara relawan dengan penduduk kampung yang diziarahi melalui pelbagai aktiviti selama lima hari.

Misi kali ini berjaya mendapatkan sumbangan orang ramai sebanyak lebih kurang 15 ribu dengan beberapa sumbangan barang keperluan seperti baju, telekung, selipar, tudung, dan keperluan dapur.

Turut memberi sumbangan antaranya Surau Al-Hijrah Taman Boltol Batu Cave, Pertubuhan Baitul Fiqh, pihak Maritim Sabah, dan TLDM (Navy) sabah, Sabah Park.

Ketua misi, Syafiq Husni Zain berkata, “Pihak Maritim dan Sabah Park juga turut sama membantu dari segi melancarkan pergerakan barangan sumbangan iaitu pengangkutan barang-barang sumbangan dengan menyediakan bot mereka kepada team misi.”

Seramai 180 keluarga yang terdiri daripda 800 orang penduduk menerima manfaat.

Surau & Tadika Amal di Kampung Salangan merupakan kampung angkat Yayasan Amal Malaysia dijadikan pusat gerakan pengumpulan bantuan.

Menurut Relawan Amal Zuraini Zahri, misi yang dijalankan ini penuh kemanisan dugaan. Manisnya apabila kami semua dapat merasai jalan udara, jalan darat dan jalan laut.

Jalan udara dengan menaiki kapal terbang dari KLIA ke Kota Kinabalu. Jalan laut untuk ke Kampung Maligu, Kampung Tembising, dan Kampung Sabur. Manakala jalan darat iaitu Kampung Salangan dan Kampung Pasir Air Hitam.

Selain menggunakan sebuah kenderaan darat iaitu 4×4 milik Amal Malaysia, team misi juga menyewa tiga buah lagi kenderaan 4×4, manakala kenderaan laut iaitu bot juga disewa empat buah lagi dan sebuah bot Amal Malaysia untuk menampung pemindahan barangan yang banyak mashaAllah.

Antara aktiviti misi ziarah mahabbah ini ialah mengajar mereka solat berjemaah, menjalankan kelas fardhu ain, makan bersama dan ziarah rumah ke rumah untuk menyaksikan sendiri kehidupan di sana.

Relawan Amal, Athirah Rosli, “Apa yang menyentak hati kami adalah ketika melihat dan merasai sendiri keadaan jalan yang sungguh berliku di kawasan berhutan dan tidak rata kerana banyak lubang sepanjang perjalanan menuju Kampung Salangan.”

Selain itu, seramai lapan orang kumpulan daripada para pensyarah UTHM juga turut sama sertai misi ini bagi tujuan kajian implimentasi off-grid solar di Surau Al-Amal dan pemasangan lampu solar di Kampung Salangan serta kajian ketinggian punca bekalan air dan Surau Al-Amal dengan menggunakan drone di Kampung Salangan untuk projek pengairan.

Motif utama misi ini bukan sekadar menyantuni penduduk kampung yang terdiri daripada kalangan muslim dan non-muslim dengan sumbangan bantuan material atas dasar kemanusiaan, malah untuk menyantuni penduduk bukan Islam mengenali Allah, Tuhan yang layak disembah.

Kehidupan mereka susah, miskin dan memerlukan bantuan atas faktor pembangunan geografi lokasi dan jauh daripada bantuan kerajaan.

Mereka juga masih menggunakan sistem barter iaitu penukaran barang untuk mendapatkan barangan lain.

“Misi Ziarah Mahabbah ini membuka mata saya khususnya, bahawa kebanyakkan mereka di sini menghadapi isu minyak diesel untuk kegunaan genset (generator), sumber bekalan elektrik, sumber air, dan petrol untuk kegunaan bot. Genset yang digunakan setiap hari telah digunakan selama 5 tahun dan kini telah mengalami kerosakan dan tidak dapat  digunakan seperti optimum menunggu masa akan rosak pada bila-bila masa sahaja”, ulas Syafiq.

Oleh kerana tiada sumber air yang disalurkan, tadahan air hujan menjadi sumber air untuk digunakan dalam kehidupan seharian seperti memasak, membasuh baju, mengambil wudhuk, membersihkan diri dan sebagainya. Pergantungan hanya pada air hujan ini menyebabkan masyarakat di sana hilang sumber air apabila kemarau tiba. Jika itu berlaku, mereka perlu mendapatkan air sejauh 4km.

Kanak-kanak Tadika Amal

Kebanyakkan mereka di sana kurang mendapat pendidikan disebabkan kurangnya kemudahan untuk pergi ke sekolah dan juga tiada sumber pendapatan. Justeru, dengan inisiatif Amal Malaysia membina Surau & Tadika Amal untuk memberi pendidikan percuma kepada kanak-kanak pra sekolah dan sekolah biasa.

Justeru, kami mengajak anda semua yang membaca kisah misi ziarah mahabbah ini agak dapat memberi sumbangan dan menyebarkannya kepada kenalan, saudara mara, dan insan sekeliling.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *