1. Letupan pada 4 Ogos yang lalu di Beirut menukarkan Pelabuhan Beirut menjadi kawah gergasi. Tragedi itu juga telah mengorbankan lebih 137 nyawa dan menyebabkan kecederaan lebih 5,000 mangsa. Dijangka seramai 300,000 rakyat Beirut kehilangan tempat kediaman.
2. Sebagai respons pantas atas dasar kemanusiaan, sebanyak 33 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berpengalaman dalam mengendalikan misi kemanusiaan dalam dan luar negara telah menubuhkan satu gabungan yang dinamakan sebagai “Sekretariat Aid4Lebanon” pada 7 Ogos 2020. Sekretariat ini membawa misi untuk mengumpulkan sumbangan dan akan diserahkan kepada mangsa-mangsa letupan. Antara bantuan yang akan dihulurkan ialah bekalan perubatan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.
3. Hasil konsensus perjumpaan bersama YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Awang, Duta Khas ke Timur Tengah pada petang tadi (10 Ogos 2020) menyimpulkan politik Rantau Asia Barat yang tidak stabil berhadapan dengan sebarang kemungkinan krisis politik pula. Dibimbangi krisis ini akan membawa kepada kancah peperangan dan menyeru semua NGO untuk turut sama memainkan peranan aktif dengan membantu rakyat dan negara Lubnan yang ditimpa musibah ini.
4. Pihak sekretariat Aid4Lebanon akan menyalurkan bantuan kepada rakan-rakan NGO yang berada di Lubnan dengan kerjasama Wisma Putra.
5. Besar harapan kami agar kita semua rakyat Malaysia dapat bersatu hati menunjukkan solidariti kepada mereka yang sangat memerlukan pada saat ini dan kami yakin kita semua mampu menjayakannya.
Sekretariat Aid4Lebanon
Tarikh : 10 Ogos 2020