Setiap anak wajib memuliakan ibu bapa mereka kerana Allah SWT meletakkan darjat kedua-dua ibu bapa sangat istimewa dalam kehidupan seorang anak. Ibu bapa merupakan insan yang telah menjaga dan membesarkan anak-anak dengan pelbagai karenah tanpa mengeluh penat dan lelah. Dari seorang ibu yang berkorban menanggung sakit saat melahirkan seorang anak dan jasa seorang ayah yang bekerja penat lelah menjaga dan menyara keluarga. Justeru, sebagai seorang anak adakah kita tidak mampu melihat segala jasa mereka, seterusnya menghargai pengorbanan mereka? Sedarlah bahawa anak yang merawat, memuliakan, berbakti dan menjaga ibu bapa akan dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat.
Anak yang memuliakan ibu bapanya akan mendapat ganjaran pahala. Ia bersamaan pahala berjihad dijalan Allah SWT kerana pengorbanan menjaga dan merawat ibu bapa dengan baik juga adalah sangat dituntut di dalam Islam. Memuliakan ibu bapa juga adalah satu ibadah iaitu tidak sempurna amal ibadah seseorang anak jika beliau mengabaikan kebajikan ibu bapa. Dari itu jagalah ibu bapa dan anggaplah itu sebagai ibadah yang menyenangkan kita kerana apabila kita ikhlas, segalanya mudah dilakukan tanpa merasa ia suatu beban.
Selain itu, anak-anak yang memuliakan kedua-dua ibu bapanya juga dianugerahkan nikmat kebahagiaan dalam kehidupan. Merawat ibu bapa akan menjadikan kehidupannya dipermudah oleh Allah SWT dalam segala hal termasuklah dari segi kerja, perjalanan kehidupan, pergaulan sesama manusia dan suasana kehidupan. Anak-anak juga turut dimurahkan rezekinya dari segi pelbagai cabang sama ada wang, makanan, ketenangan hati dan sebagainya. Ganjaran Allah SWT itu ada bagi hambanya yang baik dan sentiasa besyukur dalam merawat ibu bapa yang membesarkannya sebagai bakti walaupun tidak mampu membalas jasa kedua-dua orang tua yang melahirkan dan membesarkan tanpa penat dan lelah.
Seterusnya, bagi setiap anak yang menjaga ibu bapanya dapat merawat hati yang resah dan dukacita. Sebagai seorang manusia kita tidak lari dari segala permasalahan hidup dan juga menghadapi tekanan hidup kerana beban-beban yang ditanggung dalam kehidupan, apabila seorang anak merawat ibu bapanya dengan redha dan tulus pasti segala permasalahan, keresahan dan tekanan hidup dapat diselesaikan dengan mudah sama ada daripada nasihat orang tua atau difikirkan oleh kita dan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Setiap anak yang menjaga ibu bapanya sudah pasti mendapat keredhaan Allah. Keredhaan Allah SWT boleh dimiliki dengan melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Menjaga kedua-dua orang tua kita dengan baik adalah perintah yang dituntut dalam agama. Janganlah kita mengabaikan atau derhaka terhadap kedua-dua orang tua kita kerana itu merupakan laranganNya yang pasti mendapat balasan neraka jika tidak memohon keampunan.
Justeru, setiap anak-anak yang merawat ibu bapanya sudah pasti mendapat balasan syurga kerana anak-anak yang menjaga ibu bapa dengan baik, mereka sudah pasti diberkati oleh Allah SWT dan dijanjikan syurga. Ibu bapa juga mendoakan kebaikkan untuk anak-anaknya supaya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman iaitu di syurga. Allah SWT mendengar setiap doa hambaNya.
Akhir sekali, berbakti kepada ibu bapa juga bukan sahaja terhad ketika mereka masih hidup malah walaupun sudah meninggal dunia, kita masih boleh berbakti kepada kedua-dua ibu bapa kita antaranya memohon doa kepada Allah SWT semoga di ampunkan dosa-dosa mereka, menempatkan mereka di dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka, bersedekah atau berwakaf atas nama kedua-dua ibu bapa agar pahalanya berkekalan, menyelangsaikan hutang-hutang kedua ibu bapa dan menjaga silaturahim bersama orang-orang yang mengenali ibu bapa kita. Disini sahaja terbukti bahawa Allah SWT sangat memuliakan ibu bapa kerana terdapat pelbagai cara dan ruang untuk anak-anak berbakti kepada ibu bapa mereka, memuliakan ibu bapa adalah satu amalan yang amat dikasihi oleh Allah SWT.
Sertai wakaf Al-Quran RM25/naskah bersama Yayasan Amal Malaysia.
Whatsapp untuk pertanyaan lanjut untuk wakaf Al Quran:
https://amalqurban.wasap.my
Sumbangan wakaf Al Quran secara terus melalui laman web AmalQurban:
https://daftar.amalqurban.net/wakafalquran
Sumbangan online secara terus melalui Billplz
https://www.billplz.com/sedekahquran