24 Telaga Tiub Untuk Umat Islam Di Kemboja

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang berjaya menyiapkan 24 telaga tiub di beberapa perkampungan Islam di Kemboja hasil daripada wakaf orang ramai sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengerusinya, Zainal Abidin Mohamad berkata, kesemua kemudahan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM36,000. Menurutnya, sebanyak 18 telaga tiub dibina pada misi bantuan ke negara berkenaan yang disertai empat ahli jawatankuasa yayasan berkenaan pada 15 hingga 18 Disember tahun lalu manakala selebihnya pada misi sebelum itu

“Telaga tiub ini turut dibina di beberapa madrasah dan pusat pengajian Islam di sana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. Zainal Abidin berkata, ada beberapa kawasan yang tersenarai untuk diwakafkan telaga tiub tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa masalah termasuk keadaan muka bumi yang berbatu.

“Kita memilih beberapa perkampungan yang dihuni penduduk Muslim yang daif dan tiada kemudahan bekalan air bersih termasuk di wilayah Sihanoukville dan Kampot. “Kita juga berjaya melaksanakan amanah rakyat Malaysia yang menyumbang kepada dana wakaf telaga tiub ini dan akan diteruskan tahun ini jika sumbangan terus diterima,” katanya.

Beliau berkata, pada misi bantuan yang diketuainya baru-baru ini, yayasan itu turut menghulurkan sumbangan barang keperluan harian kepada ibu tunggal, anak yatim dan mualaf selain mengagihkan wakaf al-Quran kepada surau dan madrasah di wilayah berkenaan.

“Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Amal Malaysia Pahang melalui akaun Maybank 556011009756 atau hubungi talian 0199132166,” katanya.

Sumber : 2020 https://www.sinarharian.com.my/article/64877/EDISI/Pahang/24-telaga-tiub-untuk-umat-Islam-di-Kemboja?fbclid=IwAR3rd77F_hQyPE6Vn23khTnMs8gjkvFQovd_BgCr02-cDv8S0OOKi5D0EVw

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *