Kisah Di Tepi Sungai : Rakan Jalanan

Dalam sesi ziarah ke ‘kediaman’ rakan jalanan yang terletak di tepi sungai klang, aku sempat berbual dengan Yanti, seorang warga indonesia. Dahulu beliau pernah bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang majikan berbangsa Cina. Beliau ceritakan padaku betapa seksanya bekerja dengan majikannya. Pernah tidak diberi makan selama sebulan. Tidak dibenarkan solat, tidur tak mencukupi. Setiap malam dapat lelapkan mata pada jam 2.00 pagi. Tidak tahan dengan tekanan itu, beliau tekad untuk melarikan diri dari rumah majikannya walaupun passport beliau dipegang oleh majikannya. Bawa diri dari Pahang ke kotaraya Kuala Lumpur. Tumpang kenderaan yang sudi menawarkan bantuan secara percuma.

Ketika tiba di Kuala Lumpur, Yanti dibantu oleh kekasihnya. Pemuda dari Kelantan untuk mencari tempat berteduh. Bawah jambatan tepi sungai. Itulah lokasi yang ada. Pernah dilanda banjir, hilang semua pakaian dan dapur serta perkakas memasak. Kata Yanti, sudah setahun beliau hidup bersama kekasihnya.

Pengalaman Yanti bermukim di bawah jambatan itu, katanya pernah beberapa orang remaja bawah umur datang lepak di sekitar ‘kediamannya’ pada jam 2.00pagi. Lepak sambil hisap gam. Soalnya padaku, Kenapa ibuayah mereka tak kesah di mana anak-anak mereka berada. Ada lelaki dan ada perempuan. Kata Yanti, ada juga couple yang datang tumpang ‘tidur’ untuk melempiaskan nafsu seralah mereka. Tanpa rasa malu, hidup bagaikan suami isteri. Kami pun rasa malu, kata Yanti.

Aku bertanya pada Yanti, tidak mahukah dia berkahwin dengan kekasihnya. Balas Yanti, duit belum cukup. Sekarang kekasihnya sedang mencari pekerjaan. Jadi security guard pun jadilah.

Di akhir pertemuan itu, aku pelawa Yanti satu plastik makanan. Dia ambil untuk makan waktu petang nanti. Waktu malam, mudah dapat makanan. Ada beberapa port tempat agihan makanan antaranya depan CIMB Bank Chow Kit dan depan Segi Collegge. Siang sahaja yang susah dapatkan makanan. Aku pesan padanya supaya jaga solat.

Setelah berbual panjang, aku melangkah pergi bersama temanku, Chef Huzaimi. Kata Chef, apa kata kita nikahkan mereka..? Ermm bagus juga tu, tapi boleh ke..?


Catatan,
MK Azman
1.1.2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *