Nak Bantu Orang Kurang Upaya Tapi Tak Tahu Macam Mana?

Orang Kurang Upaya merupakan seseorang yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria. Golongan ini apabila berinteraksi mempunyai pelbagai halangan yang boleh menyekat penyertaan penuh di kalangan masyarakat. Demi membantu golongan OKU, pertama sekali adalah dengan membuka mata masyarakat terlebih dahulu tentang keistimewaan yang dimiliki oleh golongan ini. Masyarakat juga haruslah mengubah stigma yang berpendapat bahawa golongan OKU tidak mampu untuk menyumbang ke arah kebaikan. Jadi, masyarakat perlu didedahkan tentang cara berinteraksi dan membantu orang kurang upaya di persekitaran.

Terdapat tujuh kategori orang kurang upaya antaranya:

1. Fizikal

  • Ketidakupayaan kekal anggota badan.
  • Ia menjejaskan fungsi individu dalam melakukan aktiviti asas seperti penjagaan diri, melakukan pergerakan dan penukaran posisi badan.

2. Penglihatan

  • Buta dikedua belah mata atau sebelah.
  • Penglihatan terhad di kedua-dua belah mata.

3. Pertuturan

  • Mempunyai masalah bertutur sehingga menyebabkan gangguan dalam berkomunikasi.
  • Menyebabkan ia tidak boleh difahami oleh individu yang berinteraksi dengannya.

4. Pendengaran

  • Golongan ini tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran.
  • Atau tidak dapat mendengar langsung ataupun menggunakan alat bantuan pendengaran.

5. Masalah Pembelajaran

  • Mempunyai masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya.
  • Contoh: Sindrom Down, Autisme, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Dyslexia.

6. Masalah Mental

  •  Penyakit mental yang teruk menyebabkan seseorang itu tidak berupaya berfungsi dengan baik.
  • Contoh: Skizofrenia, Paranoid, Depreesion dan Bipolar Disorder.

7. Kurang Upaya Pelbagai

  • Mempunyai lebih dari satu jenis ketidakupayaan

Terdapat kaedah asas dalam berinteraksi dengan golongan orang kurang upaya (OKU) mengikut kategori ketidakupayaannya. Contohnya, OKU fizikal. Antara kaedah berinteraksi dan membantu golongan ini adalah dengan memikirkan keselamatan dan keselesaan mereka terlebih dahulu semasa memberi bantuan dan bertanya dahulu sebelum melakukan sesuatu seperti ingin mengangkat atau menyentuh fizikal mereka. Kita juga perlu menggelakkan bertindak kasar atau tergesa-gesa ketika membantu golongan ini.

Selain itu, tips untuk berinteraksi atau membantu golongan OKU penglihatan pula adalah dengan bertanya terlebih dahulu sebelum menawarkan bantuan kerana tahap keperluan setiap golongan OKU adalah berbeza bergantung kepada keupayaan individu OKU tersebut, jadi perlulah bertanya bagaimana cara untuk membantu mengikut keselesaan mereka dan sebelum meninggalkannya perlulah memaklumkan kepada OKU tersebut bagi menggelakkan situasi beliau bercakap bersendirian.

Seterusnya, bagi berinteraksi dengan OKU pembelajaran, kita perlu memberi sokongan jika diperlukan sekiranya berurusan dengan golongan ini. Kita juga perlulah bertanya terlebih dahulu jenis bantuan yang diperlukan dan bercakap dengan perlahan dan jelas kerana golongan ini mempunyai masalah untuk memahami dengan cepat. Disarankan untuk menggunakan perkataan atau ayat yang lebih mudah difahami.

Tips berinteraksi dengan OKU mental pula, haruslah berkomunikasi dengan intonasi yang sesuai, memberi layanan sama rata dan berkomunikasi dengan perlahan, ringkas dan mudah difahami.

Secara umumnya, golongan orang kurang upaya merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti masyarakat yang lain. Masyarakat juga diseru agar memainkan peranan penting dalam membantu dan sentiasa bermuafakat serta menghormati golongan OKU supaya kita dapat menjadi warga yang prihatin.

Ditulis oleh : Nur Syuhada Salim, FSSK, UKM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *