Setiap kali tiba musim korban, ada sahaja soalan yang bermain di fikiran. Antara yang selalu menjadi pertanyaan adalah berkaitan daging korban tersebut di mana adakah ianya boleh di makan oleh pelaksananya ataupun tidak. Jangan risau, kami akan menerangkan sebaik mungkin bagi orang ramai lebih memahami tentang perkara ini.
Berkenaan daging korban, ianya harus difahami dengan betul. Ini kerana setiap pembahagian daging itu mempunyai hukum yang berbeza. Apa yang perlu anda tahu adalah daging korban terbahagi kepada dua jenis iaitu korban wajib dan korban sunat. Apa pula beza dua korban ini? Mari kita baca untuk lebih lanjut.
Korban wajib adalah satu ibadah yang diwajibkan kepada seseorang individu itu setelah membuat perjanjian dengan Allah SWT. Ini adalah berkaitan dengan korban nazar di mana seseorang individu itu sendiri bernazar untuk melakukan ibadah korban dan ianya sudah jatuh di bawah korban wajib. Apa yang penting adalah, daging korban nazar adalah haram dimakan oleh pemilik atau pelaksananya serta ahli keluarganya.
Walaubagaimanapun, jika salah seorang dari mereka yang disebutkan telah termakan daging itu, maka pemilik daging korban tersebut wajib menggantikannya kembali sama ada melalui zat daging atau dengan nilainya.
Berbeza dengan korban sunat pula, ianya adalah ibadah yang ingin dilaksanakan oleh seseorang individu itu sendiri ketika tiba hari korban itu. Bagaimanapun, bagi korban sunat, dagingnya adalah halal untuk dimakan oleh pemilik atau pelaksana ibadah tersebut serta ahli keluarganya. Pun begitu, ianya lebih afdal jika daging tersebut dibahagikan terlebih dahulu sebelum ia dimakan.
Bahagian tersebut merangkumi satu pertiga adalah untuk dimakan oleh pemilik dan ahli keluarganya, manakala satu pertiga lagi adalah untuk disedekahkan kepada fakir miskin ataupun golongan asnaf itu sendiri dan lagi satu pertiga adalah untuk diberikan atau hadiahkan buat sahabat handai ataupun jiran tetangga, rakan taulan tidak mengira status.
Dengan penjelasan yang diberikan, harap orang ramai lebih peka dan faham akan perbezaan dua korban ini yang jelasnya mempunyai perbezaan ketara. Sebelum anda ingin melaksanakan ibadah korban, pastikan anda sendiri tahu anda berada digolongan yang mana. Wallahualam.