Misi menyelamat akidah ummah (Siri Kedua)

Sumber: https://www.facebook.com/866556050049181/posts/2802427759795324/

KAMI bertolak awal meninggalkan Traveller Inn sekitar jam lapan pagi. Pemandu van membawa kami untuk bersarapan di sekitar kawasan Masjid Hidayah. Di hadapan dan keliling masjid para peniaga Islam menjual pelbagai jenis makanan tempatan yang enak dan menyelerakan. Tinggal lagi semuanya terasa pedas sahaja bagiku.

Usai mencuba beberapa menu tempatan seperti Khau Soy (seakan-akan mee kari), Kueh Tiaw yang dibuat daripada kacang dan beberapa yang lain, kami seterusnya bergerak ke Chiang Rai. Memulakan perjalanan, Kakti Ubes asyik bercerita akan sedapnya daging salai ‘goreng panas-panas’ yang dimakannya di restoran sebelah masjid tadi. Kedai Cina Muslim itu tidak mengecewakan dia dan Kak Ani Bachok. Dua pinggan nasi dihabiskan sekejap sahaja katanya sambil ketawa. Memang Kakti sentiasa mudah terhibur. Kadang-kadang ketawa tanpa sebab.

Jalan darat dari dua lokasi ini (Chiang Mai – Chiang Rai) mengambil masa sekitar empat jam jika tidak berhenti di mana-mana. Namun team kami mengambil masa sehingga lapan jam lebih kerana banyak persinggahan antaranya di ladang kurma, kebun strawberi dan ladang limau madu yang terhampar seluas mata memandang di pinggir gunung yang memisahkan Thailand dan Burma.

Pemandu van kami amat cekap dan professional iaitu Cik Asma Wangcharoen, seorang gadis Thai Muslim yang menetap di Chiang Rai tetapi berniaga penyewaan van dan juga sebagai pemandu pelancong bagi kawasan Chiang Mai dan seluruh pelosok negeri Siam. Biarpun seorang wanita, namun kecekapannya dalam mengendalikan van besar ini amat mengagumkan. Dia akan kami ‘rekomenkan’ kepada rakan-rakan Malaysia yang ingin bermusafir ke Utara Thailand. Sebahagian lagi ahli misi menaiki van yang dipandu oleh Haji Sulaiman Supharat yang juga seorang Muslim berketurunan Siam-Yunnan.

Masjid Islam Pangsa

Hampir senja kami tiba di kawasan orang asli pergunungan Pangsa. Cik Asma membelok ke kanan dan melalui lorong-lorong sempit yang mana di kiri dan kanannya adalah rumah orang asli bukit yang diperbuat daripada kayu, buluh, beratap lalang dan juga ada yang membina rumah batu. Tiba di pertengahan bukit, van memasuki kawasan sekolah dan sebuah masjid yang tertera nama Masjid Islam Pangsa. Ia agak sunyi dan tenang.

Seketika sahaja, isteri Ustaz Nasir (mudir bagi sekolah Islam di Pangsa) datang menyambut dan mengalu-alukan ketibaan kami. Bilik-bilik penginapan telahpun tersedia di belakang masjid ini untuk kami menginap selama tempoh misi di Chiang Rai. Dan dimaklumkan juga bahawa hampir semua rakyat-rakyat Malaysia, Indonesia, Brunei, Arab dan lain-lain akan datang menginap di sini apabila mereka dalam misi kemanusiaan, misi dakwah serta kebajikan di Utara negara Siam. Ia umpama Pusat Dakwah Serantau yang ada di Malaysia.

Usai solat jamak Zohor dan Asar, anak-anak orang asli bukit yang menetap di asrama Masjid Islam Pangsa ini pulang daripada sekolah mereka. Dua kali dipunggah dengan pacuan empat roda, mereka terjun daripada belakang Hilux dan berlari riang mengelilingi kami. Amat mesra dan tidak kekok menerima tetamu luar!

Anak-anak ini adalah permata yang cukup berharga. Mereka diambil untuk dijadikan anak angkat dan pelajar di Pusat Mualaf Pangsa yang dikendalikan oleh Ustaz Nasir ini sejak berumur empat atau lima tahun lagi. Semuanya adalah anak orang asli bukit yang mendiami gunung-gunung tinggi sekitar Chiang Rai. Ayah dan ibu mereka tiada agama, pagan ataupun menganut Animisme. Tidak kurang yang memuja dan menyembah hantu bukit.

Menariknya adalah, walaupun penduduk kampung di pergunungan ini tidak beragama, namun mereka merelakan Ustaz Nasir serta tenaga pengajar di sini memelihara anak-anak kecil mereka. Langsung tidak takut anak kesayangan masing-masing memeluk Islam. Inilah dia sebenarnya ruang dakwah yang amat besar yang tidak kita berikan perhatian selama ini.

Bani Muso, Akhaa dan Hayyai

Tidak menunggu lama, kami menyertai keasyikan anak-anak ini yang sedang bermain buaian, bola, takraw, lumba lari dan sebagainya di padang kecil bersebelahan dewan makan masjid. YB Awang (Ahli Parlimen Pendang) yang turut sama dalam misi tidak kekok menyantuni anak-anak orang asli bukit. Dengan umur yang hampir masuk ‘six series’, beliau cukup bertenaga berlari, menyepak bola dan bermain sepak raga dengan anak-anak. Wah hebat sekali!

Kakti dan Kak Ani pula mengeluarkan gula-gula daripada bagasi dan memberikannya kepada anak-anak. Gembira tidak kepalang mereka dapat makan ‘cokelat’ yang dibeli En Hamid Seman dari Kota Bharu. Wajah mereka bersih dan mendambakan kasih sayang.

Kemudiannya, dengan bantuan Haji Sulaiman Supharat yang fasih berbahasa Thai, kami cuba berbual dan berinteraksi dengan anak-anak ini. Mereka sebenarnya berketurunan atau berasal dari puak-puak yang berlainan. Lain raut wajah, lain bahasa, dan tinggal di gunung yang berbeza-beza. Apabila ditanya, ramai yang berketurunan bani Muso, dan kedua ramai adalah dari suku Aakha. Selebihnya adalah orang Mong, Hayyai dan Bani Iso.

Hebatnya tali persaudaraan dalam Islam hinggakan semua suku kaum yang mendiami ratusan gunung di Chiang Rai ini telah disatukan dalam satu akidah Islamiah dan mendiami asrama Masjid Islam Pangsa.

Impian Ustaz Nasir

Dalam kuliah Subuh yang disampaikan oleh Mudir di Masjid Islam Pangsa ini, iaitu Ustaz Nasir telah diceritakan bagaimana perjuangan mereka yang datang jauh dari Selatan Thailand semata-mata untuk usaha dakwah di kawasan pergunungan. Hijrah meninggalkan sanak saudara di Yala, Pattani, Takbai dan Narathiwat hanya kerana mahu melihat cahaya Islam terus bersinar di Chiang Rai. Besar dan hebatnya pengorbanan para daei ini untuk mengislamkan orang orang asli bukit.

Katanya sejak awal dahulu, orang asli ini pernah menerima agama Kristian, agama Buddha dan akhirnya mereka mahu memeluk Islam. Di setiap kawasan gunung, ada tiga ataupun empat keluarga sahaja daripada ratusan buah rumah yang ada. “Gunung sana ada dua, gunung sini ada tiga, gunung belakang pula ada empat, jadi susah untuk kumpulkan keluarga yang berbeza-beza ini untuk pelajaran ilmu Islam setelah mereka melafazkan syahadah,” kata beliau. Lantas, Ustaz Nasir dan sahabat-sahabatnya berfikir adalah lebih mudah untuk mengambil anak-anak orang asli dan ditempatkan di asrama sekitar Masjid Islam Pangsa untuk diberi pelajaran serta lebih utamanya untuk diislamkan.

Lalu ditubuhkan satu pusat dakwah di Myamo. Ia menjadi pusat mualaf pertama di Chiang Rai. Maka hiduplah masjid dan juga asrama di kawasan berkenaan. Namun kerana kekangan kewangan, pusat berkenaan tidak mampu menampung jumlah mualaf yang semakin banyak. Lalu dibukalah Masjid Islam Pangsa ini bagi membantu perkembangan dakwah kawasan pergunungan sekitar.

Pada peringkat awal, banyak orang sekitar masjid ini memeluk Islam. Berpuluh-puluh keluarga termasuklah ‘Tok Nebey’ ataupun Ketua Kampung sendiri. Bermula daripada sebuah madrasah kecil dan hanya sebuah rumah guru, akhirnya apabila jumlah pelajar bertambah sehingga seratus orang lebih, maka masjid ini diperluas dan dibesarkan serta asramanya ditambah lagi dengan sedikit bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor. Hal ini amat menggembirakan hati Ustaz Nasir dan juga para daei yang datang dari Selatan Thailand.

Namun, panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan turun ditengahari. Kejayaan mereka sedang dicemburui dan diintai musuh agama Islam. Seorang bomoh hantu yang terkenal di perkampungan ini mulai memanggil ketua-ketua keluarga bagi menyekat lebih ramai orang memeluk Islam dengan kewujudan Masjid Islam Pangsa. Banyak strategi jahat yang disusun untuk memusnahkan cahaya Islam.

Antaranya mereka mengisytiharkan bahawa mana-mana orang kampung yang pergi bersembahyang di masjid berkenaan, yang mengamalkan agama Islam, akan dipulaukan oleh mereka. Putus hubungan keluarga dan dibuang masyarakat. Tidak boleh berjual beli, tidak akan dibantu jika dalam kesusahan. Ia persis zaman Nabi S.A.W yang mana umat Islam dipulau dan diboikot oleh penduduk Makkah.

Seterusnya mereka menggunakan kuasa yang ada pada mereka iaitu tidak memberikan tandatangan ataupun cop pengesahan kepada mana-mana penduduk Islam di kampung ini yang mahu berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan. Maka semuanya menjadi sukar bagi mualaf-mualaf di sini. Akhirnya sedikit demi sedikit, mereka yang mulai tidak datang ke masjid dan berurusan dengan Ustaz Nasir serta tenaga pengajar yang lainnya.

Selamatnya akidah ummah

Ustaz Nasir menyambung lagi cerita mengenai cabaran lampau dalam mengembangkan Islam di kawasan pergunungan ini kepada kami. Katanya antara faktor utama yang mengikat orang-orang bukit ini dengan Islam adalah pernikahan. Mana-mana penduduk yang bernikah dengan para daei Selatan Thai, Malaysia dan Arab akan kekal dalam agama Islam dan akan melahirkan generasi baru yang bakal menggalas cabaran perjuangan agama pada masa akan datang.

Meskipun berdepan pelbagai ujian dan cabaran, namun Ustaz Nasir dan sahabat-sahabatnya terus bergerak mara ke hadapan dengan membina sebuah lagi sekolah baru berjarak 4km daripada Masjid Islam Pangsa. Ia menempatkan seramai seratus sepuluh orang pelajar-pelajar lelaki yang agak dewasa dan belajar silibus pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Negara Thai serta dimasukkan juga mata pelajaran yang berkaitan dengan Islam.

Di Pangsa ini ditempatkan pelajar perempuan serta adik-adik lelaki mereka yang masih kecil dan mahu tinggal bersama dengan kakak mereka. Ustaz Nasir agak fleksibel dalam hal ini atas sifat dakwah. Apabila mereka sedikit dewasa, akan dipindahkan ke asrama lelaki. Jadinya buat masa sekarang terdapat lebih kurang lima puluh lapan pelajar di Masjid Islam Pangsa.

Dakwah kaum sendiri

Peringkat awal dahulu, lebih kurang 25 tahun lampau, kerja dakwah dilakukan seratus peratus oleh daei Selatan Thailand. Namun kini berkat usaha masa lalu, perjuangan mereka telah disambung dan mendapat kerjasama daripada anak-anak orang asli ini sendiri. Ustaz Huzaifah antaranya, adalah seorang asli dari suku Aakha yang mendiami Kg Alek (gunung kedua tertinggi di Chiang Rai). Beliau telah mendapat didikan di sekolah Ustaz Nasir dan akhirnya mendapat ijazah daripada Universiti Islam di Pattani.

Huzaifah menjadi salah seorang daripada empat lagi bekas pelajar yang kini menjadi guru pula kepada anak-anak asli bukit generasi baru. Manisnya lagi, salah satu pusat dakwah di Pong, telah ditadbir oleh anak pelajar didikan Ustaz Nasir satu ketika dahulu. Dia daripada suku Mong dan kini mendidik pula anak-anak suku Mong agar menerima cahaya Islam yang suci di kawasan gunung mereka.

Mendengar akhir kuliah Ustaz Nasir, kami berlinangan air mata. Kagum dengan aspirasi sosok ini. Katanya, “Loni ado satu persen sajo ore Islam di utaro Thailand, kita harap akan tamboh jadi dua persen, tigo persen dan akhirnya jadi seratus persen, Insyaallah”. Allahuakbar. Mulia sungguh harapan dan niat Ustaz Nasir dan kumpulannya.

Mereka punya hasrat yang besar namun kemampuannya amat terbatas. Kewangannya ciput dan sesak. Di sinilah perlunya khidmat dan jasa kita. Peranan kitalah untuk mengumpulkan kewangan, buah fikiran dan segala tenaga bagi membantu usaha-usaha dakwah yang sebenarnya amat luas di bumi gajah putih.  Salurkan sumbangan anda menerusi AMAL KELANTAN DANA ANAK YATIM & ASNAF,  5530-1061-0082 (MAYBANK).

Catatan oleh:
NAZMAN CHE IBERAHIM
Sukarelawan Amal Kelantan – HARAKAHDAILY 6/1/2020
https://harakahdaily.net/index.php/2020/01/06/misi-menyelamat-akidah-ummah-siri-kedua

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *