Sejarah Yayasan Amal Malaysia

Pada tahun 2001, Yayasan Amal Malaysia (AMAL) bersama 9 NGO Kebajikan Antarabangsa telah mengasaskan sebuah pertubuhan kebajikan antarabangsa yang dinamakan sebagai International Federation for Relief and Development (IFRD) untuk mengkoordinasi bantuan kemanusiaan kepada masyarakat dunia yang memerlukan. Semenjak IFRD ditubuhkan, AMAL masih lagi diberi kepercayaan sehingga kini untuk mengepalai gerak kerja mengkoordinasi bantuan ke seluruh pelusuk dunia melalui kerjasama ahli IFRD yang diwakili oleh NGO-NGO daripada 10 buah negara iaitu India, Sri Langka, Bangladesh, Turki, Indonesia, Filipina, Malaysia, Pakistan, Sudan dan Mesir.

Sejajar dengan itu, AMAL sentiasa berusaha untuk menyokong dan membantu masyarakat yang susah serta memerlukan tanpa mengira bangsa, fahaman atau kewarganegaraan. Sejak ditubuhkan pada tahun 2001, AMAL telah banyak menyertai misi bantuan kemanusian melibatkan lebih 40 buah negara di rantau benua Afrika, Asia dan Eropah. Peristiwa Tsunami Acheh 2004 menyaksikan penyertaan AMAL sebagai badan kebajikan dunia yang proaktif menyalurkan bantuan.

AMAL akan sentiasa terus proaktif dalam bertindak balas dengan isu-isu kecemasan seperti menyediakan bantuan kepada mangsa bencana alam atau buatan manusia seperti peperangan, penzaliman, penindasan, pengusiran dan seumpamanya. AMAL juga aktif dalam menjalankan projek pembangunan dan pemulihan seperti pembangunan pusat pendidikan & latihan, penyediaan air bersih & sanitasi dan penjagaan kesihatan. Menerusi amanah yang dipikul, kami berharap dapat terus bergerak ke hadapan dalam memupuk keamanan sejagat dan menyelesaikan permasalahan yang melanda masyarakat dunia tanpa rasa jemu dan lelah.